Hotel bajet jadi port bungkus, edar dadah

Anbalagan (tengah) bersama pegawai penyiasat memunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah hotel bajet pada Selasa lalu.
Anbalagan (tengah) bersama pegawai penyiasat memunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah hotel bajet pada Selasa lalu.
A
A
A

BALIK PULAU - Modus operandi sindiket didalangi sembilan warga tempatan yang menjadikan sebuah hotel bajet di Bayan Lepas sebagai tempat membungkus dan mengedar dadah akhirnya terbongkar.

Kegiatan jenayah mereka berjaya dikesan polis selepas serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, sindiket berkenaan yang telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dikesan melalui hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, serbuan bermula jam 11 pagi itu berjaya menahan sembilan suspek terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan tempatan termasuk pasangan suami isteri serta dua beradik lelaki.

"Dalam serbuan pertama di hotel bajet terbabit, empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 31 dan 29 tahun ditangkap dan polis menemukan bungkusan dadah disyaki heroin dan syabu.

"Mereka menyewa bilik hotel berkenaan dalam tempoh yang lama kononnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun gerak-geri mencurigakan termasuk melihat orang asing yang sering datang ke bilik mereka menimbulkan tanda tanya," katanya pada sidang akhbar di IPD Balik Pulau di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, melalui maklumat yang diperoleh, pelanggan akan datang ke bilik mereka untuk urusan pembelian dadah pada harga RM100 bagi sepeket kecil syabu.

Katanya, susulan tangkapan itu membawa kepada tangkapan tiga lagi rakan mereka iaitu seorang lelaki dan dua perempuan di sebuah bilik berlainan di hotel yang sama serta merampas bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 50.12 gram.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat dilakukan membawa polis ke sebuah pondok di Jalan Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini pada jam 6.30 petang bagi memburu ahli sindiket mereka. Dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 27 tahun serta merampas bungkusan syabu dan pil Eramin 5 yang bernilai anggaran RM31,725.

"Hasil semakan yang dilakukan mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk salah seorang daripadanya pernah terlibat dengan 17 kes jenayah.

"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM44,472.85 dan kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.