Anggota polis maut ketika kejar suspek pecah rumah

Koperal K Mahadir Elis (gambar kecil) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Koperal K Mahadir Elis (gambar kecil) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang anggota polis berpangkat koperal maut dilanggar penunggang motosikal ketika mengejar suspek pecah rumah di Kampung Padang Temusu kira-kira jam 7 pagi pada Khamis.

Koperal K Mahadir Elis, 38, berasal dari Sabah yang melakukan tugas am dan cegah jenayah di Balai Polis Sungai Petani ketika kejadian sedang mengejar suspek sebelum dia dilanggar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku apabila mangsa bersama beberapa anggota lain telah ke lokasi untuk menangkap suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah, dua minggu lalu.

Adzli (kiri) hadir ke lokasi kejadian anggota polis maut di Kampung Padang Temusu, Sungai Petani.
Adzli (kiri) hadir ke lokasi kejadian anggota polis maut di Kampung Padang Temusu, Sungai Petani.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 3.45 pagi, beberapa anggota telah ke Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Pasir bagi menahan tiga suspek disyaki turut terlibat dalam kes pecah rumah.

"Berpandukan maklumat tiga suspek ini, lima anggota termasuk mangsa kemudian ke Padang Temusu bagi menahan suspek utama geng terbabit berusia 24 tahun, pada jam 7.30 pagi.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri dengan berlari ke arah jalan utama, Jalan Sungai Petani-Butterworth.

"Mangsa kemudian mengejarnya sejauh kira-kira 500 meter dan sewaktu melintas jalan, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 telah melanggar mangsa dari arah hadapan. Akibat kejadian, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis masih memburu suspek terbabit yang kini melarikan diri.

Menurut Adzli, mangsa telah berkhidmat selama 12 tahun bersama Polis Diraja Malaysia dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda selama tiga tahun, merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tugas.

"Beliau seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan tugas sebagai seorang anggota polis, kehilangannya amat dirasai warga PDRM khususnya di IPD Kuala Muda," katanya.

Beliau berkata, mangsa meninggalkan seorang balu, Azlila Talib, 39, serta tiga orang anak berusia 17 hingga 5 tahun.

Jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

Pengebumian dijangka diadakan selepas Maghrib di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar- Rashid Sungai Dua, Pulau Pinang dengan adat istiadat PDRM sebagai penghormatan terakhir.