Pelajar IPTA direman 4 hari kes hantaran hina Islam

Ashari
Ashari
A
A
A

KUANTAN – Pelajar lelaki sebuah universiti di sini yang ditahan kerana memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah melalui akaun Threads miliknya direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, penahanan pelajar berusia 21 tahun itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat bapanya pada awal pagi Rabu.

Menurutnya, pengadu berusia dalam lingkungan 50-an membuat laporan tersebut susulan hantaran menghina al-Quran yang dilakukan anaknya itu.

“Lelaki tersebut datang ke balai polis bersama anaknya untuk memohon maaf.

“Dia bertindak demikian dipercayai kerana bimbang akan keselamatan anaknya ekoran perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ashari berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri hingga boleh mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

Gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran menghina Islam itu tular sejak Selasa lalu dan didakwa dimuat naik oleh individu terbabit di akaun Threads miliknya.

Penahanan pelajar tersebut sebelum ini disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat tindakan pelajar terbabit.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung perkara itu.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.

Ringkasan AI

  • Pelajar lelaki universiti ditahan kerana memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah
  • Penahanan dibuat susulan laporan bapa pelajar tersebut pada awal pagi Rabu
  • Bapa pelajar bimbang terhadap keselamatan anaknya dan telah memohon maaf
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948
  • Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah menubuhkan jawatankuasa siasatan dan menyatakan tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar yang bersalah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!