Penunggang motosikal maut, empat cedera nahas lapan kenderaan

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Ahad - Foto: PDRM
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Ahad - Foto: PDRM
A
A
A

REMBAU - Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Muhammad Alif Danial Muhamad Zamri, 22, yang menunggang motosikal Yamaha Y16ZR maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan menunggang motosikal dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang.

"Namun sampai di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang bahagian kiri manakala rakan-rakannya yang mengekori rapat turut hilang kawalan dan terjatuh ketika cuba mengelak mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kemudian datang sebuah kereta Toyota Yaris dipandu wanita berusia 35 tahun cuba mengelak Nissan Almera yang berhenti di lorong kanan akibat pelanggaran dengan motosikal mangsa, namun dirempuh pula sebuah Perodua Myvi.

Tambahnya, empat rakan mangsa yang berusia antara 18 hingga 20 tahun cedera manakala kesemua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.