Abu Bakar Bashir dibebaskan hari ini

Abu Bakar Bashir (tengah) yang dikaitkan dengan insiden maut pengeboman di Bali pada 2002, dibebaskan daripada penjara hari ini.
Abu Bakar Bashir (tengah) yang dikaitkan dengan insiden maut pengeboman di Bali pada 2002, dibebaskan daripada penjara hari ini.
A
A
A

JAKARTA - Ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan insiden maut pengeboman di Bali pada 2002, dibebaskan daripada penjara hari ini.

"Dia telah diserahkan kepada keluarga dan peguam yang menjemputnya di penjara," kata jurucakap penjara, Rika Aprianti dalam satu kenyataan.

Abu Bakar, 82, dipenjara sejak ditahan pada 2009 atas tuduhan terbabit dalam kegiatan keganasan.

Pada 2011, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana didapati bersalah membiaya kem latihan pengganas di wilayah paling timur Indonesia, Aceh.

ARTIKEL BERKAITAN: Abu Bakar Bashir bakal dibebaskan

Awal minggu ini, Ketua pejabat undang-undang dan hak asasi manusia wilayah Jawa Barat, Imam Suyudi, berkata Bashir akan dibebaskan dari penjara Gunung Sindur di Bogor.

Ia berikutan tempoh hukuman penjara 15 tahun dikurangkan kepada 55 bulan selepas mendapat pengampunan.

Bashir didakwa mendalangi serangan pengganas paling kejam di Indonesia iaitu pengeboman di pulau peranginan Bali yang mengorbankan 202 mangsa pada 2002, meskipun dia tidak pernah disabitkan dengan serangan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember 2018, ulama Indonesia itu ditawarkan pembebasan awal dengan alasan kemanusiaan oleh kerajaan kerana kesihatannya semakin merosot.

Bagaimanapun, Bashir menolaknya kerana dia perlu mengakui kesetiaan kepada Indonesia dan Pancasila, seperti mana disyaratkan kepada semua pengganas yang sudah menjalani reformasi.

Pembebasan Bashir dilakukan ketika usaha intensif skuad anti-keganasan Indonesia, Densus 88, membanteras keganasan di republik itu yang menyaksikan beberapa pemimpin JI ditahan sejak kebelakangan ini. - Agensi