Lelaki bersenjata ditahan berhampiran White House, didakwa mahu bunuh Trump

Seorang lelaki bersenjata ditahan berhampiran White House pada Khamis selepas didakwa mengancam untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Seorang lelaki bersenjata ditahan berhampiran White House pada Khamis selepas didakwa mengancam untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki bersenjata ditahan berhampiran White House pada Khamis selepas didakwa mengancam untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Ronny Yordrix Guanipa Chrinos, warga Venezuela yang didakwa memasuki AS secara haram pada 2024.

Ketika diperiksa, suspek dikatakan memaklumkan bahawa dia mendengar suara dalam kepalanya yang menyuruhnya datang ke Washington dan membunuh Trump.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati kenderaan yang dipandunya dilaporkan sebagai kenderaan curi.

Suspek juga mengaku menyimpan senjata di dalam kenderaan tersebut.

Hasil pemeriksaan menemukan sepucuk raifal, dua pistol dan puluhan butir peluru.

Chrinos kini berdepan beberapa pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, penggunaan kenderaan tanpa kebenaran serta memiliki harta curi.

Dia sedang ditahan oleh Perkhidmatan Marshal AS sementara siasatan diteruskan.

Pengarah Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) AS, Sean Curran berkata, insiden itu membuktikan keupayaan anggota agensi berkenaan mengendalikan situasi berisiko tinggi yang berpotensi mengancam individu di bawah perlindungan mereka serta orang awam.

Menurutnya, kejadian berkenaan turut mencerminkan persekitaran ancaman keselamatan yang semakin mencabar, selain peningkatan jumlah individu bersenjata yang menghampiri kompleks White House.

Dalam pada itu, Perkhidmatan Rahsia memaklumkan, White House menyaksikan peningkatan ketara kes yang melibatkan individu dengan masalah kesihatan mental.

Pegawai berpendapat institusi presiden dan White House sering menjadi tumpuan simbolik bagi individu yang berdepan isu sedemikian.

Pada Mei lalu, seorang lelaki yang mempunyai sejarah masalah kesihatan mental ditembak mati oleh pegawai Perkhidmatan Rahsia selepas melepaskan tembakan berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan White House. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!