X

Kindly register in order to view this article
!

Najib bidas Tun M anggap HSR tidak penting

Najib menyifatkan Dr Mahathir tidak tahu mengenai kepayahan rakyat yang perlu berulang-alik dari Malaysia ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas kenyataan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dibatalkan baru-baru ini tidak penting.

Najib menyifatkan Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi itu tidak tahu mengenai kepayahan rakyat yang perlu berulang-alik dari Malaysia ke Singapura setiap hari untuk bekerja.

“Ini kes orang yang tak pernah duduk dalam kereta untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura ataupun tak tahu Tambak Johor sering sesak.

“Cuba tanya mereka yang duduk di Muar atau Batu Pahat yang bekerja di Singapura bahawa mereka cuma jimat 15 minit dengan HSR (30 minit).

"Tanya juga penduduk Melaka, mereka cuma jimat 15 minit untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan HSR (40 minit),” katanya di laman Facebook beliau pada malam Khamis.

Pada Khamis, Dr Mahathir pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana berkata, projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan baru-baru ini bukan satu projek penting.

Menurutnya, ini disebabkan negara masih boleh menunggu sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk diadakan projek seperti itu.

Dr Mahathir turut mempersoalkan kerajaan perlu membayar jumlah wang yang banyak bagi projek yang hanya menjimatkan masa perjalanan selama 15 minit.

Sementara itu, Najib secara sinis mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir itu.

“Jimat 15 minit berbanding apa? Berbanding naik jet peribadi anak dan kroni dia atau naik kereta terbang nasional projek gagalkrasi Pakatan Harapan?” soal Najib.

Najib berkata, HSR penting kerana melengkapkan visi integrasi ASEAN apabila dua ibu kota terpenting di rantau ini dihubungkan.

Selain itu, katanya, projek itu juga akan menjadikan Malaysia sebahagian daripada rangkaian kereta api laju di Asia.

“Selain memudahkan perjalanan rakyat, HSR penting sebab ia akan merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan Malaysia dan menarik pelaburan asing yang bakal menjana 110,000 peluang pekerjaan serta memberi keuntungan lebih RM6 bilion setiap tahun kepada negara," katanya.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura menerusi satu kenyataan bersama mengumumkan pembatalan projek HSR selepas tempoh penangguhan perjanjian terbabit berakhir pada 31 Disember 2020.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua negara akan mematuhi tanggungjawab masing-masing dan meneruskan tindakan yang diperlukan hasil daripada penamatan perjanjian terbabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!