X

Kindly register in order to view this article
!

WhatsApp mendominasi kehidupan

A
A

AMBANG 2021 menyaksikan lebih 1.4 bilion voice call (panggilan) dan video call (VC) dirakamkan di seluruh dunia, peningkatan hampir 50 peratus berbanding aksi tahun baharu 2020. Senario itu membuktikan aplikasi WhatsApp kini mendominasi kehidupan manusia, khususnya dalam era pandemik Covid-19.

Sebenarnya, VC kini telah menjadi satu kemestian dalam gaya hidup individu yang memiliki telefon bimbit model terbaharu. Selain aplikasi Facebook yang menampilkan voice call dan VC, Instagram dan Messenger turut menyaksikan kenaikan penggunaannya pada ambang 2021.

Ambang 2020 menyaksikan aplikasi Messenger digunakan secara meluas melibatkan sekurang-kurangnya tiga individu yang berada di tempat berlainan. Paling menarik, lebih 55 juta live broadcast dilakukan oleh individu tertentu menerusi Instagram dan Facebook pada hari terakhir 2020.

Tidak terkecuali rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan berhubung sesama sendiri pada ambang 2021. Apakah voice call dan VC yang dibanggakan Facebook bakal menjadi agenda wajib dalam kehidupan menusia seantero dunia?

Penulis melihat senario itu sebagai satu peralihan gaya hidup yang sangat berbeza tidak sampai 10 tahun masa berlalu. Pada ambang 2000, masih ramai membanjiri bandar-bandar besar untuk menyambut ketibaan tahun baharu. Di Kuala Lumpur, ratusan ribu manusia berada di Dataran Merdeka.

Sebagai rekod, aplikasi Facebook kini diiktiraf mempunyai lebih dua bilion pengguna aktif di seluruh dunia. Agak menarik juga apabila Facebook hanya mendedahkan angka berkaitan penggunaan voice call dan VC.

Pada ambang 2020, lebih 100 juta menghantar pesanan persendirian kepada rakan di seluruh dunia. Tanpa memberikan alasan kukuh, Facebook mengambil keputusan tidak mendedahkan angka sebenar yang menghantar pesanan persendirian pada hari terakhir tahun 2020. Namun, wujud khabar angin kononnya hampir 20 bilion pesanan persendirian menerusi WhatsApp telah dihantar oleh warga India pada ambang 2021.

Angka itu sangat menakjubkan dan membuktikan WhatsApp telah menguasai kehidupan manusia secara total. Apakah itu senario yang sangat baik kepada kehidupan manusia?

Berubah

Penulis juga mula membayangkan kehidupan gaya tersendiri menjelang 2022 seandainya Covid-19 tidak berjaya dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh setahun lagi. Sekalipun banyak berita dan khabar angin kononnya telah ada vaksin tetapi sehingga hari ini belum ada petanda positif pandemik telah berjaya diatasi sepenuhnya.

Penulis juga dimaklumkan, sebelum bermulanya Covid-19, aplikasi WhatsApp hanyalah berkisar kepada pesanan persendirian, muat naik gambar peribadi dan perkongsian sosial. Namun, segala-galanya berubah apabila Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Apa yang jelas, pengurusan Facebook telah mengambil pendekatan serius menangani kemungkinan perubahan gaya hidup. Jelas sekali pengurusan Facebook telah mengambil pendekatan proaktif dengan membayangkan berlaku perubahan gaya hidup. Ia dibuktikan dengan perubahan gaya hidup pada ambang 2021.

Penulis mencadangkan lebih ramai anak muda di Malaysia segera memahami kelebihan infrastruktur komunikasi Facebook termasuk load testing, disaster recovery testing dan shuffling capacity. Seharusnya ketika ini sudah ada generasi terkini yang mampu menguasai secara total berkaitan Facebook, Instagram atau Messenger.

Kesimpulannya, penulis percaya kerajaan Malaysia harus membentuk satu pasukan khas yang menguasai segala aplikasi bagi memastikan ia tidak mampu melumpuhkan atau merosakkan gaya hidup penduduk.

Penulis percaya aplikasi seperti WhatsApp, Instagram, Messenger atau Telegram boleh merosakkan status sosial masyarakat sekiranya tidak dibendung atau dikaji kesan negatif penggunaannya.

* Prof Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Pusat Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!