X

Kindly register in order to view this article
!

150 pekerja asing berhimpit dalam kontena

Zaidi melihat tempat penginapan pekerja dalam kontena yang tidak teratur, sempit dan menyalahi Akta 466.
A
A

JASIN - Kira-kira 150 pekerja asing sebuah kilang perabot di Ayer Tawar, Merlimau di sini terpaksa tidur dalam keadaan berhimpit dan sesak dalam sebuah rumah panjang dan empat kontena yang diubahsuai menjadi tempat penginapan sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan tempat penginapan pekerja asing itu terbongkar apabila Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTKM) bersama beberapa agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat serbuan penginapan pekerja asing terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Nepal di kilang perabot itu pada Khamis.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JTK Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob berkata, hasil pemeriksaan, kilang yang beroperasi lebih 20 tahun dan mengeksport perabot ke luar negara itu telah melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan termasuk kegagalan menyediakan ruang tidur pekerja mengikut spesifikasi ditetapkan, malah ada di antara pekerja yang tidak mempunyai tilam dan berkongsi dengan pekerja lain selain hanya terdapat tiga unit tandas di empat buah kontena yang dikongsi dengan 45 orang.

Keadaan tempat tinggal berkotak dan setiap kotak didiami dua pekerja.
Keadaan tempat tinggal berkotak dan setiap kotak didiami dua pekerja.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah panjang juga mendapati dari segi spesifikasi tidak mematuhi akta berkenaan sebagai contohnya keluasan ruang tidur sepatutnya hanya boleh memuatkan lapan orang, namun telah diisi sehingga 11 hingga 16 orang dalam satu masa selain tempat tidur turut dijadikan tempat menyimpan makanan.

"Kita nampak bahawa syarikat ini tidak mematuhi peraturan berkenaan, contoh dalam siasatan kita pekerja berkongsi katil dengan orang lain sepatutnya tidak boleh dan ada yang tidak ada tilam.

"Bila kita tengok keadaan katil amat menyedihkan dari segi penyelenggaraan, tempat tinggal tidak dibuat secara teratur dan sempit, tempat tidur juga disimpan bahan-bahan makanan yang sepatutnya disimpan di tempat lain," katanya ketika sidang akhbar selepas operasi itu.

Hadir sama, Pengarah JTK Melaka, Rosli Jantan.

Zaini berkata, dalam pandemik Covid-19, majikan seharusnya mengambil kira peraturan yang dikuatkuasakan dan lebih dikesalkan majikan yang menggajikan pekerja asing terbabit tidak membuat saringan kesihatan Covid-19 terhadap semua pekerja asing mereka.

"Kita akan membuka kertas siasatan memandangkan banyak kesalahan yang dilakukan majikan ini untuk tindakan seterusnya iaitu pendakwaan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Rosli (depan) dan Zaidi melihat keadaan tempat penginapan pekerja asing.
Rosli (depan) dan Zaidi melihat keadaan tempat penginapan pekerja asing.

"Bagi kesalahan tidak mendapat perakuan JTK berhubung penginapan pula, majikan boleh didenda RM50,000 penjara tidak melebih satu tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Sementara itu Rosli berkata, setakat ini kira-kira 1,981 majikan di negeri ini yang menggajikan kira-kira 54,358 pekerja asing, namun terdapat hanya 82 majikan yang telah membuat permohonan perakuan.

"Daripada jumlah itu, 17 permohonan lengkap 48 tidak lengkap, sembilan telah diluluskan dan tujuh dalam proses, manakala satu permohonan ditolak kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Kita menyeru majikan mengambil serius perkara ini dan membuat perakuan penginapan sama ada melalui atas talian dan JTK sedia memberikan khidmat nasihat dan sebagainya," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!