Menyamar polis sebelum samun warga asing, wanita

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menyasarkan warga asing dan wanita sebagai mangsa, sekumpulan penjenayah menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menyamun mereka.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila satu laporan polis dibuat Selasa lepas berhubung kejadian samun melibatkan seorang lelaki warga Indonesia.

"Suspek dipercayai tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis. Bertindak atas kejadian, Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan telah melakukan operasi dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan kurang daripada 24 jam," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya turut merampas sejumlah barangan kes yang dipercayai hasil samun daripada suspek yang berusia antara 31 hingga 42 tahun itu.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menjalankan kegiatan samun serta menyamar sebagai penjawat awam di dalam Daerah Johor Bahru Selatan sebanyak 12 kes.

"Mereka telah bergiat aktif sejak tahun 2016 sehingga kini. Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis meth," kata Shahurinain.

Kesemua mereka direman sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kes itu juga di siasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dihukum dipenjara selama dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.- Bernama