Kedah tingkat penguatkuasaan SOP feri ke Langkawi

Muhammad Sanusi selepas mengetuai bacaan ikrar kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi selepas mengetuai bacaan ikrar kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan feri ke Langkawi bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan memantau SOP dari aspek pelancongan dan pengangkutan untuk kedua-duanya dipatuhi orang ramai terutama di pintu masuk pelancongan.

Menurutnya, ia susulan terdapat individu bertindak menanggalkan pelitup muka ketika berada dalam feri dan tidak mematuhi SOP penjarakkan fizikal ketika menaiki perkhidmatan awam itu.

"Saya telah bincang dengan Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin untuk beri perhatian serius mengenai aspek ini kerana Kementerian Pengangkutan sendiri miliki SOP untuk kenderaan awam khususnya feri.

"Perkara ini perlu dikuatkuasakan kerana apabila duduk dalam feri tidak ada penguat kuasa yang pantau sama ada penumpang patuh atau tidak patuh SOP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan pagi bersama penjawat awam Kedah dan pelancaran kempen pembudayaan norma baharu peringkat negeri di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Menurutnya, perbincangan bersama Exco Pelancongan, Mohd Firdaus Ahmad turut diadakan untuk melipat ganda usaha pematuhan SOP di Langkawi selepas pulau itu kembali rancak dengan aktiviti pelancongan.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri, trend peningkatan kes positif Covid-19 berlaku disebabkan ramai penduduk di kawasan zon merah pulang ke kampung halaman masing-masing dan tidak membudayakan norma baharu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya berharap orang ramai yang berhasrat rentas sempadan negeri mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Hendak rentas negeri itu tiada masalah, masalahnya apabila ada yang tidak patuhi SOP sehingga mendatangkan risiko kepada orang lain terutama individu yang berisiko tinggi," katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat cadangan sekatan rentas negeri, ia perlu mengambil kira keperluan orang ramai setelah sekian lama tidak berjumpa ibu bapa dan saudara mara atau bercuti.

“Saya harap semua rakyat Kedah amalkan SOP sebagai budaya baharu dalam kehidupan seharian.

"Disebabkan itu, kerajaan negeri lancarkan kempen pembudayaan norma baharu sebagai usaha untuk pastikan rakyat selamat dan ekonomi cergas walaupun dalam pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan kes Covid-19 di negeri ini yang semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan awal Disember lalu, selain peningkatan pelancong ke Langkawi.

Katanya, semua program kerajaan negeri dan parti juga perlu mengikuti amalan norma baharu sebagai usaha mengekang penularan wabak itu.

“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran kawalan kendiri kalangan masyarakat sebagai individu barisan hadapan memerangi Covid-19. Saya harap semua ahli politik, pemimpin masyarakat, ketua agama dan pemimpin NGO sentiasa promosikan amalan norma baharu kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis sama, kapten pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar dilantik sebagai ikon kempen pembudayaan norma baharu sebagai menarik minat anak muda dan peminat sukan mematuhi SOP Covid-19.