X

Kindly register in order to view this article
!

ATM bina jambatan sementara untuk penduduk Kampung Lenchar

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan alat tulis kepada kanak- kanak dan beramah mesra dengan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Raub hari ini. - Foto Bernama
A
A

RAUB - Penduduk di Kampung Lenchar dan beberapa kawasan sekitar Ulu Dong dekat sini yang terputus hubungan selepas jambatan yang menghubungkan kampung itu dengan Pekan Ulu Dong runtuh, kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan sementara dijangka siap dibina malam Khamis.

Satu-satunya jambatan yang menghubungkan penempatan 500 penduduk di kawasan berkenaan runtuh akibat hakisan tanah berikutan arus deras Sungai Dong pada Ahad lepas, menyebabkan mereka terputus hubungan hampir lima hari, manakala laluan lain yang ada, sangat jauh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan jambatan jenis 'Compact Bailey 200' itu nanti akan dapat menghubungkan jalan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong dan bandar Raub.

Menurutnya, pembinaan jambatan sepanjang 26 meter dan lebar 7.35 meter itu mengambil masa antara lapan hingga 12 jam, yang dilaksanakan oleh Anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejiman Askar Jurutera Diraja (RAJD).

"Kita jangkakan jambatan ini akan boleh digunakan bermula jam 8 malam ini dan penduduk tidak perlu bimbang kerana jambatan ini boleh menanggung berat sehingga 60 tan.

"Jambatan ini akan terus digunakan sehingga jambatan baharu yang kekal siap dibina," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan sementara itu hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ismail Sabri berkata, perancangan untuk jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang runtuh akan mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Pahang pada Februari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keanggotaan dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dan ketika ini 5,000 anggota tentera telah digerakkan secara berperingkat selain aset seperti jentera berat, bot dan helikopter ke kawasan terjejas akibat banjir.

"Kita sentiasa bersedia, helikopter pun sudah sedia jika ada kecemasan untuk hantar mangsa yang sakit. Untuk jambatan Bailey pula, ATM ada 10 unit disediakan untuk banjir dan satu daripadanya kita guna di sini," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof turut melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Raub pada Khamis.

Ketika ditemui pemberita di sini beliau berkata, selain memastikan agihan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan menerusi semua agensi terlibat juga kini fokus kepada inisiatif membantu penduduk terjejas untuk kembali ke rumah mereka.

"Menerusi lawatan ke kawasan dilanda banjir seperti hari ini, kita akan dapat pantau lokasi terjejas dan mengatur jenis bantuan yang boleh disalurkan selepas banjir," katanya dan menambah bantuan disumbangkan bagi memastikan mereka yang terjejas boleh kembali menjalani kehidupan mereka pasca banjir. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!