X

Kindly register in order to view this article
!

233 penghuni PGBF Felda Laka Selatan terima kunci rumah

Idris (kanan) menyampaikan replika kunci sebagai gimik penyerahan rumah kepada Roshisham Abd Rashid,38, sambil disaksikan Muhammad Sanusi (tengah) di Felda Laka Selatan pada Rabu.
A
A

CHANGLUN - Seramai 233 penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Laka Selatan menerima kunci kediaman masing-masing mulai 9 Ogos 2020 lalu.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sehingga kini seramai 2,358 unit kediaman telah diserahkan kepada generasi baharu Felda di 11 kawasan seluruh negara sejak pengumuman Kertas Putih Felda pada 10 April 2019.

Katanya, penyediaan perumahan PGBF yang dilengkapi dengan infrastruktur sosial dan fizikal ini membolehkan generasi baharu Felda menduduki kediaman yang lebih selesa dan sejahtera.

“Kemudahan dan keselesaan yang disediakan dapat membantu menggalakkan generasi baharu Felda untuk kembali berhijrah dari bandar ke Felda Laka Selatan.

“Mereka juga dapat mewujudkan aktiviti ekonomi yang dapat menghasilkan sumber pendapatan terutamanya melalui penglibatan secara aktif dalam program-program pertanian dan keusahawanan yang diperkenalkan oleh Felda seperti Program Pembangunan Peneroka (PPP),” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama penghuni PGBF di sini pada Rabu.

Menurutnya, beliau amat berharap agar Felda dapat menjadi penyumbang utama pengeluaran makanan negara dan menjadikan kesemua tanah-tanah rancangan Felda sebagai komuniti contoh terbaik luar bandar.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang banyak membantu menyempurnakan projek PGBF terutama AgroBank dan Bank Pembangunan yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pembeli.

“Tanah-tanah rancangan Felda sememangnya berpotensi untuk dibangunkan sebagai economic hotspots bagi merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

“Negeri Kedah adalah termasuk dalam enam negeri yang mempunyai rekod jurang pembangunan yang ketara.

“Atas sebab itu, di pihak kerajaan negeri saya memberi jaminan akan menyokong dan bekerjasama erat dengan Felda untuk merapatkan jurang ini sekali gus meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!