Tiga lelaki ditahan terlibat pergaduhan di kelab malam

Tangkap layar daripada video yang tular menyaksikan pergaduhan berlaku di sebuah kelab malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru, pada malam Isnin.
Tangkap layar daripada video yang tular menyaksikan pergaduhan berlaku di sebuah kelab malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru, pada malam Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan tiga lelaki tempatan kerana terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah kelab malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada malam Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga lelaki berkenaan yang berusia 21 hingga 28 tahun semuanya ditahan di Skudai jam 7 petang pada Rabu.

"Usaha mengesan saki baki yang terlibat sedang dilakukan. Polis sebelum ini menerima satu video yang tular jam 6.30 semalam (Selasa) yang melibatkan pergaduhan di kelab malam itu dan di kaki lima kedai berhampiran.

"Pergaduhan itu berlaku pada 11.45 malam, pada 4 Januari lalu yang berpunca daripada salah seorang teman wanita pengunjung diganggu.

"Ini menyebabkan kekecohan dan dan pengunjung yang lain mengambil kesempatan sehingga terjadi pergaduhan sesama mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, pihak polis sedang melakukan siasatan sekiranya terdapat elemen kongsi gelap terlibat dalam kejadian tersebut.

Susulan itu katanya, pihak polis melakukan serbuan di kelab hiburan itu pada jam 10 malam Selasa dan merampas peralatan muzik.

Artikel Berkaitan:

Pemilik premis berkenaan katanya, diambil tindakan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98 kerana beroperasi tanpa lesen hiburan.

"Ini termasuk melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sebelum ini premis ini pernah diambil tindakan yang sama sebanyak empat kali di bawah enakmen hiburan," ujarnya.

Pihak polis katanya, menasihatkan mana-mana pusat hiburan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.