X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan minyak masak paket cukup

Mohd Haiqal menunjukkan minyak masak paket yang terdapat di pasar mini miliknya di Durian Tunggal, Melaka pada Rabu.
A
A

ALOR GAJAH - Bekalan minyak masak paket di sekitar kawasan Alor Gajah terutama di kedai-kedai runcit mencukupi dan tiada masalah kekurangan bekalan.

Peniaga Pasar Mini Azhar Mohd, Mohd Haiqal Adha, 19, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang masalah berkenaan bekalan minyak dan mengakui pembelian banyak pada awal tahun ini berkemungkinan kerana ramai yang berniaga makanan ataupun yang mengadakan kenduri.

"Setakat ini memang tak ada masalah, minyak masak paket masih ada dan banyak.

"Harga pun masih kekal RM2.50 sepaket sekilogram dan kalau habis kita akan dapatkan bekalan dengan mudah," katanya yang mewarisi perniagaan bapanya.

Perkara itu turut diakui pihak pasar mini D'Mart di pekan Durian Tunggal yang tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan minyak masak paket.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian di beberapa buah pasar raya mendapati kotak dan tempat letak minyak masak paket kosong dan ada di antara pekerja mengakui bekalan tersebut telah lebih seminggu kehabisan dan sukar mendapatkan stok.

Rak minyak masak paket di salah sebuah pasar raya di sekitar kawasan Alor Gajah, Melaka didapati kosong.
Rak minyak masak paket di salah sebuah pasar raya di sekitar kawasan Alor Gajah, Melaka didapati kosong.

Selain itu, turut diletakkan notis pembelian minyak masak paket terhad dua paket sahaja bagi setiap keluarga.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Norena Jaafar yang dihubungi mengatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pembeli dan peruncit, namun siasatan akan dijalankan berhubung perkara itu.

Menurutnya, kemungkinan berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket kerana cuti sekolah dan permintaan penggunaan yang tinggi.

Katanya, sehingga ke hari ini, bekalan minyak masak paket di pasaran negeri Melaka adalah sebanyak 23,000 kilogram.

"Namun sekiranya masih terdapat kekurangan bekalan minyak masak paket dalam masa sehari dua ini, bekalan di kedai runcit tersebut akan diperoleh dengan kadar segera," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!