Proses rasionalisasi minyak masak bersubsidi, agihan secara adil

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mengadakan proses rasionalisasi pengagihan atau kuota minyak masak bersubsidi bagi mengatasi kekurangan bekalan di pasaran pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga penting untuk memastikan pengagihan minyak masak bersubsidi dapat dilakukan secara adil di semua peringkat.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil langkah proaktif itu susulan dapatan diperolehi daripada beberapa siri lawatan ke kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi di seluruh negara.

"Saya rasa sampai masanya untuk pihak kementerian melihat secara keseluruhan tentang bagaimana proses pengedaran minyak masak paket bersubsidi ini supaya tidak berlaku gangguan atau kekurangan di mana-mana peringkat pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi dekat sini petang Ahad.

Salahuddin berkata, kementeriannya juga sedang menjalankan kajian atau audit menyeluruh bagi memastikan kilang pembungkus semula minyak masak bersubsidi mempunyai kemampuan membekalkan barang keperluan itu sama ada di peringkat daerah mahupun bandar.

"Selepas audit itu selesai dilakukan maka pengagihan (minyak masak bersubsidi) dengan lebih adil dapat dilakukan. Kita akan mengurus dan menyelaraskan semula (pengagihan atau kuota tersebut).

"Di mana kawasan yang perlu (atau) kuota kurang, kita akan tambah supaya kita dapat mengatasi isu kekurangan bekalan ini di masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai Sabah, Salahuddin berkata, negeri itu turut mengalami masalah kekurangan kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi dan menjadi antara punca berlaku kekurangan bekalan barangan itu di pasaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya komited untuk mengatasi masalah itu termasuk dalam aspek memastikan pengagihan minyak masak bersubsidi dapat dilakukan secara adil di semua peringkat.

"Kilang pembungkusan semula (minyak masak bersubsidi) sangat kurang di Kota Kinabalu sebagai contoh. Kalau nak diambil kos pengangkutan sebagai contoh dari Kota Kinabalu nak ambil dari Sandakan, itu mengambil masa panjang dan kos juga akan meningkat.

"Jadi ini penting untuk kita pastikan kita dapat mengagihkan (minyak masak bersubsidi) secara adil. Kita akan mengatasi isu ini secepat mungkin,” katanya. - Bernama