Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 4,116

Bandar Kota Tinggi masih ditenggelami banjir pada Selasa selain merupakan daerah paling ramai menempatkan mangsa banjir iaitu di 18 buah PPS.
Bandar Kota Tinggi masih ditenggelami banjir pada Selasa selain merupakan daerah paling ramai menempatkan mangsa banjir iaitu di 18 buah PPS.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 4,116 orang daripada 1,036 keluarga setakat jam 8 malam pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu terus menunjukkan penurunan berbanding 4,518 orang daripada 1,143 keluarga setakat jam 4 petang.

"Bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri juga berkurangan daripada 40 pada jam 4 petang menjadi 36 PPS ketika ini.

"Di daerah Pontian sudah tiada lagi mangsa banjir ditempatkan di PPS. Dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dan SK Parit Markom semuanya ditutup antara jam 1 hingga 6 petang tadi.

"Dua lagi PPS ditutup ialah SK Tenglu dan SK Air Papan di Mersing masing-masing ditutup pada jam 6.30 petang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Vidyananthan berkata, bilangan daerah terjejas banjir juga sudah berkurangan daripada tujuh daerah sebelum ini menjadi enam daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan Segamat.

Katanya, Kota Tinggi masih mencatatkan daerah paling ramai mangsa banjir yang ditempatkan di 18 PPS iaitu 2,314 orang daripada 579 keluarga, mereka ditempatkan di sekolah, dewan, balai raya dan surau.

Sementara itu, beliau berkata, lapan jalan utama masih ditutup untuk semua kenderaan di tiga daerah akibat banjir kecuali satu sahaja dibuka untuk laluan kenderaan berat iaitu di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas; Jalan Tai Hong; Jalan Tun Sri Lanang; Jalan Mawai Lama; Jalan Kampung Kelantan/Kampung Panti di Kota Tinggi semuanya ditutup sementara.

"Dua laluan di Jalan Nitar Utama/Kluang di Mersing, ditutup manakala Jalan Haji Suhud berhmapiran Taman Muhibbah di Johor Bahru ditutup kerana jambatan runtuh," katanya.