UMNO Kelantan sokong tindakan Ahmad Jazlan

Kenyataan media UMNO Kelantan pada Selasa menyokong penuh keputusan Ahmad Jazlan.
Kenyataan media UMNO Kelantan pada Selasa menyokong penuh keputusan Ahmad Jazlan.
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan menyatakan sokongan padu terhadap Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob kerana melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa pada Rabu.

Sokongan padu itu dizahirkan oleh 12 UMNO bahagian di negeri ini menerusi satu kenyataan rasmi kepada media di sini pada Selasa.

12 bahagian tersebut ialah Gua Musang, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kuala Krai, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Jeli, Kubang Kerian dan Machang.

Bagaimanapun, Ketereh dan Tanah Merah tidak berada dalam senarai 12 bahagian yang menyokong tindakan Pengerusi UMNO Kelantan itu melepaskan jawatan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB

Cadang tarik diri sokong kerajaan jika PRU15 tidak dilaksana segera

12 UMNO bahagian di Kelantan desak putuskan hubungan dengan Bersatu

Sementara itu, Setiausaha UMNO Kelantan, Akhbar Salim dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya kekal berprinsip menyokong penuh dan menghormati keputusan Ahmad Jazlan.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan yang dibuat Ahmad Jazlan bersifat mempertahankan maruah parti," katanya.

Beliau berkata, pendirian Ahmad Jazlan mencerminkan ahli UMNO tidak takut kehilangan jawatan demi mempertahankan parti.

Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai isyarat peringatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak memperkecil dan membuli UMNO seolah-olah parti itu tidak mempunyai maruah.

"Diharap pemimpin parti lebih berprinsip dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan hak-hak UMNO," katanya.

Pada Isnin, Ahmad Jazlan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai MPOB.

Surat peletakan jawatan tersebut sudah dihantar kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Isnin.