Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB


Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 6 Januari 2021.

Beliau menjelaskan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Isnin.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada menteri di atas kepercayaan yang telah diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Pengerusi MPOB.

“Saya juga menghargai segala kerjasama yang telah diberikan oleh ahli lembaga, pengurusan dan seluruh warga MPOB di sepanjang perkhidmatan saya bersama agensi ini.

“Saya doakan semoga MPOB terus maju dan berdaya saing dengan membantu rakyat yang terlibat dengan komoditi sawit termasuk pemegang taruhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Jazlan dilantik sebagai Pengerusi MPOB pada April tahun lalu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Media turut melaporkan peletakan jawatan itu berkait dengan polemik politik yang berlaku ketika ini khususnya membabitkan hubungan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Jazlan dikatakan antara ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai pengerusi kepada syarikat badan berkanun itu selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk Mac lalu.

Artikel Berkaitan: