PRN Melaka: PN pertimbang guna logo Pas

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan menggunakan logo Pas atau parti komponen lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya logo PN tidak dapat digunakan susulan perintah penggantungan RoS.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggunaan logo parti komponen merupakan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan kerjasama antara parti dalam PN dapat diteruskan.
Menurutnya, parti dalam gabungan tidak semestinya perlu menggunakan logo masing-masing dalam pilihan raya, sebaliknya boleh menggunakan logo salah satu parti yang menunjukkan mereka bersatu dan bekerjasama.
“Dalam pilihan raya, satu-satu parti tak semestinya bertanding atas logo parti sendiri.
“Boleh menggunakan logo mana-mana parti yang menunjukkan mereka ini bersatu atau bersama walaupun mereka tidak ada satu koalisi,” katanya selepas merasmikan Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payung di Lembah Sireh di sini pada Sabtu.
Selasa lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa Rabu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberikan contoh Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 apabila DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu menggunakan logo PKR ketika Pakatan Harapan (PH) belum menggunakan satu logo bersama.

“Jadi apa salahnya kalau ada satu dalam kalangan gabungan parti ini, Pas ke, parti lain yang nak guna logo parti lain, tidak jadi kesalahan dari sudut undang-undang pilihan raya.
“Ini antara pilihan kita ada sekirannya PN masih digantung,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, Pas tidak mempunyai masalah menggunakan logo sendiri dan berharap Bersatu juga menggunakan logo sendiri.
“Kami nak Bersatu menggunakan logo Bersatu di Melaka ini dan kita tengok macam mana,” katanya.
Takiyuddin berkata, PN ketika ini mempunyai enam parti iaitu Pas Bersatu, Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Bersekutu Sarawak.
Katanya, sekiranya Bersatu memilih untuk keluar daripada PN, lima parti lain masih mempunyai hubungan yang kukuh.
“PN ini pun walaupun dipecahkan, kami masih ada lima sahabat.
“Ikatan ataupun hubungan antara lima parti selain daripada parti yang keluar daripada PN itu masih lagi mantap, itu saya boleh sahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

