Tiada arahan ujian pengesanan Covid-19 di Cameron Highlands

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan beberapa premis di Cameron Highlands diarah tutup akibat jangkitan Covid-19 seperti yang tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp. FOTO: 123rf
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan beberapa premis di Cameron Highlands diarah tutup akibat jangkitan Covid-19 seperti yang tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp. FOTO: 123rf
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan beberapa premis di Cameron Highlands diarah tutup akibat jangkitan Covid-19 seperti yang tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, Notis Perintah Tutup Premis yang dikeluarkan itu sebenarnya bagi tujuan pelaksanaan aktiviti nyahkuman dan nyahcemar.

Beliau berkata, tiada arahan dikeluarkan pihaknya untuk menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di klinik kesihatan seperti yang ditularkan.

"JKNP memang telah mengesan satu kes positif Covid-19 di daerah itu dan pesakit telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Berdasarkan pergerakan kes, pihak JKNP Pahang melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands telah mengenal pasti tempat-tempat yang dikunjungi pesakit.

"Sehubungan itu, notis arahan tutup premis dikeluarkan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti nyahkuman dan nyahcemar," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Dr Bahari berkata, JKNP juga telah menjalankan aktiviti pengesanan kontak secara aktif, manakala kontak rapat yang dikenal pasti telah diasingkan dan disaring untuk ujian pengesanan Covid-19.

Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan: