[VIDEO] Kacak takut jumpa ayah, Cik B belum sedia

Kacak (kiri) bersama Cik B (kanan) dan Vida hadir mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Isnin.
Kacak (kiri) bersama Cik B (kanan) dan Vida hadir mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Anak lelaki kepada juwatan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida mendedahkan bahawa dia masih belum bersedia untuk bertemu bapanya.

Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin, 14, atau Kacak berkata, pengalaman ketika mereka bersama satu masa dahulu membuatkan dia takut untuk bertemu bapanya, Mohd Amin Yasin, 43.

"Dulu saya pernah kena 'macam-macam' (ketika bersama bapa). Jadi perkara itu masih 'melekat' dalam fikiran saya," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu di sini pada Isnin.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu menolak permohonan tuntutan hak hadanah bekas suami pertama kepada Vida atau dikenali sebagai DSV untuk bertemu dengan dua anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami DSV gagal tuntutan hadanah bertemu Cik B, Kacak

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty.

Dalam prosiding itu, mahkamah mengarahkan Kacak dan kakaknya, Edlynn Zamilleen, 16, atau Cik B menghubungi Mohd Amin sekurang-kurang sekali dalam sebulan.

Tindakan itu bertujuan memastikan ikatan silaturahim antara anak dengan bapa tidak terputus.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memberikan hak kepada kedua-dua beradik itu untuk membuat keputusan bertemu bapa mereka sekiranya sudah bersedia berbuat demikian.

Bukan itu sahaja, mahkamah turut menetapkan Vida tidak boleh menghalang anaknya untuk bertemu bapa mereka.

Sementara itu, Cik B ketika ditemui pemberita juga mengakui belum bersedia untuk bertemu bapanya.

Bagaimanapun, katanya, dia sudah bersedia untuk menghubungi bapanya sebagaimana yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

"Saya gembira dan lega (perbicaraan) semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, kali terakhir mereka berjumpa dengan bapanya itu dua tahun lalu.

Katanya, ibu mereka tidak pernah menghalang atau memaksa dia dan Kacak untuk bertemu dengan bapanya.

Sementara itu, Mohd Amin berkata, dia akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, dia akan mengemukakan rayuan sekiranya keputusan mahkamah itu gagal dipatuhi.