'Dah roboh, nak bincang apa lagi'

Dr Mariah cuba menenangkan peniaga yang marah susulan tindakan perobohan gerai pada Isnin lalu.
Dr Mariah cuba menenangkan peniaga yang marah susulan tindakan perobohan gerai pada Isnin lalu.
A
A
A

SUBANG JAYA - "Dah roboh, nak bincang apa lagi?" Itu antara kata-kata yang dilontarkan peniaga yang hadir pada pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud di Dataran Puchong Permai di sini pada petang Ahad.

Pertemuan diatur susulan insiden perobohan gerai Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Isnin lalu.

Usaha Dr Mariah bertemu bagi menyelesaikan isu peniaga itu kecoh seawal majlis berlangsung sekitar jam 5 petang.

Terdapat beberapa peniaga yang menjerit, meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan ketika rakyat terbeban dengan Covid-19.

Sementara itu, Dr Mariah pada sidang akhbar menjelaskan, pihak MBSJ telah membuat bancian peniaga sejak tahun 2019 sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Menurutnya, perobohan dilakukan bagi memberikan laluan kepada kerja naik taraf jalan Persiaran Puchong Permai dengan Jalan Taqwa.

"Lokasi ini tidak sesuai dijalankan aktiviti perniagaan. Susulan itu, seramai 36 peniaga diberikan kiosk di tapak baharu dan berbumbung di Dataran Puchong Permai untuk meneruskan perniagaan," katanya pada sidang akhbar berkenaan.

Dr Mariah turut memaklumkan bahawa terdapat 10 kesalahan yang menyebabkan tindakan perobohan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Ada pelanggaran syarat oleh peniaga termasuk gerai disewakan kepada pihak ketiga, menggajikan pekerja warga asing dan membina struktur kekal, sedangkan pemegang lesen hanya diberikan permit sementara.

"Selain itu, terdapat peniaga meninggalkan barangan di tapak niaga, menyediakan kerusi meja kepada pelanggan seperti konsep restoran selain menggunakan saiz kanopi yang tidak dibenarkan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mencampuri tindakan penguatkuasaan dilakukan MBSJ, namun bersedia membantu peniaga terkesan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan MBSJ melakukan perobohan struktur haram dan binaan tanpa izin yang didirikan di atas rezab jalan.

Peniaga dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan hingga menimbulkan aduan daripada orang awam.

Notis Pemberitahuan (Bangunan) dikeluarkan pada 24 September 2019 kepada penjaja terbabit, diikuti dengan Notis Pemberitahuan Kedua (Bangunan) pada 13 Mei 2020 di bawah kesalahan Seksyen 46 (1) (a) & Seksyen 70 (13) (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk meruntuhkan keseluruhan bangunan dalam tempoh 14 hari sebelum perobohan dilakukan.

-end-