Pastikan tiada rakyat Kedah terpinggir: MB

Muhammad Sanusi (tiga, kanan) bergambar bersama bekas rakan sekolah pada majlis ‘Grand 30 Year Reunion Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SSMJ)’ di Bendang Man Resort, Sik pada Sabtu.
Muhammad Sanusi (tiga, kanan) bergambar bersama bekas rakan sekolah pada majlis ‘Grand 30 Year Reunion Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SSMJ)’ di Bendang Man Resort, Sik pada Sabtu.
A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan komitmen akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat membawa kesejahteraan kepada seluruh 2.2 juta rakyat Kedah sebagai azam tahun baharu 2021.

Menurut beliau, bertepatan dengan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, beliau akan memastikan tiada rakyat terpinggir daripada menikmati kemakmuran negeri tanpa mengira kaum, agama mahupun pegangan politik.

“Semua kemakmuran negeri akan dikongsi bersama. Saya telah diamanahkan dengan tanggungjawab menerajui pentadbiran negeri ini, akan saya lakukan secara berhemah, adil dan telus,” katanya ketika hadir menjayakan ‘Grand 30 Year Reunion Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SSMJ)’ tahun 1987-1991 di Bendang Man Resort di sini pada Sabtu.

Bagi menjayakan segala perancangan negeri, Muhammad Sanusi turut mengajak rakyat Kedah untuk sentiasa memperbaiki diri ke arah lebih baik sebagai azam tahun baharu.

“Pesanan ini juga untuk diri saya sendiri. Marilah kita semua sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri agar tidak terus ketinggalan.

Azam yang disemat dalam diri saban tahun bukan sekadar diucapkan dan menjadi kenangan setiap kali tahun beralih,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, setiap individu harus berusaha memperbaiki diri, tingkah laku, keimanan serta komunikasi dengan orang sekeliling dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Saya mahu ajak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Bukan hanya menjelang tahun baharu tetapi lakukan setiap hari. Perubahan ke arah lebih positif harus disemai dalam semua aspek kehidupan agar kita menjadi lebih baik berbanding semalam,” katanya.

Artikel Berkaitan: