Pulau Pinang beri rebat cukai taksiran kepada 649,950 pembayar cukai

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk memberi rebat cukai taksiran berjumlah RM24.5 juta kepada 649,950 pembayar cukai tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pembayar cukai yang tinggal di rumah kos rendah (LC), kos sederhana rendah (LMC) dan rumah kampung di Pulau Pinang diberikan rebat 100 peratus terhadap kenaikan kadar cukai taksiran 2021, yang telah diluluskan sebelum ini.

Beliau berkata, unit perumahan lain di Pulau Pinang yang tidak dikategorikan sebagai LC, LMC atau rumah kampung diberikan rebat 50 peratus atas kenaikan kadar cukai taksiran bagi tahun ini.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberikan rebat cukai taksiran sebanyak RM10.3 juta untuk kediaman di kawasan pulau manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memberikan rebat sebanyak RM14.2 juta kepada kediaman di tanah besar negeri Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini.

Tahun lepas, kedua-dua majlis berkenaan tidak mengutip cukai taksiran berjumlah RM47.3 juta bagi meringankan beban pembayar cukai.

Beliau berkata, pengecualian itu dibuat mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang termasuk memberi kebenaran kepada orang ramai membuat bantahan berkenaan kenaikan taksiran cukai.

"Antara bantahan utama yang diterima daripada orang ramai berhubung kenaikan itu ialah terlalu mendadak dan dilaksanakan semasa rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi akibat Covid-19," katanya.

Terdahulu, Jagdeep menghadiri program 'Kembali ke Sekolah' bersama Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Pengerusi Hindhudharma Maamandram (Cawangan Pulau Pinang) NK Thanabalan di Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) di sini.

Artikel Berkaitan:

Thanabalan, yang menganjur program itu berkata 200 orang pelajar dari golongan B40 di negeri itu diberikan baucar bernilai RM100 untuk membeli pakaian sekolah, beg dan peralatan yang diperlukan.

"Ini adalah tahun ketiga kami mengadakan program seperti ini," katanya. - Bernama