Johor harap HSR diteruskan tanpa Singapura

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor berharap projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dapat diteruskan kerana pelaksanaannya akan memberi manfaat besar kepada negara.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Johor akan menerima limpahan manfaat paling besar kerana sebahagian besar projek HSR melibatkan pembangunan di negeri ini.

"Walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pembatalan projek HSR Malaysia-Singapura, namun kita berharap projek itu akan diteruskan.

"Kita juga tidak menolak penglibatan Singapura dalam pelaksanaan projek baharu itu nanti dalam aspek pelaburan, walaupun ia tidak melibatkan stesen di Singapura dalam perancangan baharu," katanya.

Pengerusi UMNO Johor itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin mengumumkan pembatalan projek berkenaan kerana tiada kata putus dicapai antara kedua-dua negara.

Pembatalan projek itu menyaksikan Malaysia perlu membayar pampasan dianggarkan berjumlah RM300 juta kepada Singapura.

Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya percaya kerajaan Persekutuan mempunyai perancangan baharu yang lebih baik bagi menggantikan projek HSR.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, katanya, pembinaan projek HSR melibatkan laluan sepanjang lebih 300 kilometer dengan Johor menempatkan sebahagian besar daripada jajaran dan stesen.

"Kita berharap sebarang perbincangan baharu melibatkan projek itu akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat dan limpahannya," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan Persekutuan mengambil kira keperluan untuk melengkapkan rangkaian rel di negeri ini dalam sebarang perancangan baharu.

"Ketika ini terdapat dua projek rel di Johor iaitu projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru.

"Sekiranya perancangan HSR (yang baharu) dibuat, kerajaan negeri berharap ia akan mengambil kira jajaran lain bagi melengkapkan rangkaian rel di negeri ini," katanya.