Warga emas maut selepas 11 jam bertarung nyawa

Motorsikal jenis EX5 ditunggang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai melanggar mangsa di lokasi Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu
Motorsikal jenis EX5 ditunggang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai melanggar mangsa di lokasi Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang warga emas disahkan meninggal dunia di hospital setelah hampir 11 jam bertarung nyawa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Kuala Berang - Sekayu - Belukar Bukit (hadapan Padang Kampung Padang Setar, Sekayu) di sini Jumaat.

Ahmad Taib, 84, dari Kampung Padang Setar, Sekayu di sini meninggal dunia kira-kira jam 11.28 malam ketika menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari membabitkan sebuah motosikal dan pejalan kaki.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan dari arah Kampung Sekayu menghala ke Kampung Padang Setar, Sekayu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa sedang berjalan dari arah sama di bahu jalan yang berumput tetapi secara tiba-tiba dia dikatakan mengubah haluannya dengan berjalan masuk ke lorong sebelah kanan jalan.

"Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar warga emas terbabit dan berlaku pergeseran di antara mereka sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh di tengah lorong sebelah kiri jalan.

"Mangsa yang parah di kepala dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan sebelum dirujuk ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sabtu.

Mohd Adli berkata, penunggang motosikal yang cedera ringan dibawa pulang ke rumahnya oleh penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya menerima makluman daripada cucu mangsa memaklumkan datuknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad HSNZ, Kuala Terengganu, kira- kira jam 11.28 malam pada Jumaat.

"Cucunya memaklumkan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah kerana 'Severe Traumatic Head Injury'.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.