Penjenayah dikehendaki mati ditetak

Mayat mangsa yang ditemui di Tanjung Rambutan, Ipoh dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat.
Mayat mangsa yang ditemui di Tanjung Rambutan, Ipoh dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat.
A
A
A

IPOH - Seorang penjenayah dikehendaki ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di badan dan tangan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa seorang lelaki berusia 34 tahun itu ditemui orang awam yang ingin memikat burung di kawasan tersebut kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil semakan pihak polis mendapati mangsa mempunyai 12 rekod lampau termasuk dua kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes bunuh dan beberapa kes jenayah lain.

"Maklumat awal yang kita terima, kejadian dipercayai berlaku akibat pertengkaran di antara mangsa dengan sekumpulan lelaki kerana tidak puas hati adik mangsa ditahan pihak polis di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. Mangsa yang berseorangan kemudiannya ditetak menggunakan sebilah parang sehingga pergelangan tangan hampir putus.

"Mangsa merupakan orang dikehendaki oleh pihak polis. Dia memang antara sasaran kita untuk ditahan bagi kes sebelum ini (Seksyen 307 Kanun Keseksaan) namun dia menghilangkan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Mayat mangsa ditemui di dalam belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, Ipoh pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemui di dalam belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan, Ipoh pada Jumaat.

Turut hadir di lokasi tersebut, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Sementara itu, A Asmadi berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan dipercayai meninggal dunia pada petang Khamis berdasarkan keadaan mayat yang ditemui di lokasi tersebut sebelum ditemui orang awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan pihak polis juga telah mengenal pasti suspek terlibat.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan Ops Cantas juga akan dibuat bagi tujuan tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.