Covid-19: Tiga kluster baharu, dua babitkan tempat kerja

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kluster baharu Covid-19 dilaporkan pada Jumaat melibatkan Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Selangor, dengan dua daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikesan hasil saringan individu bergejala dan saringan bersasar di tempat kerja.

Dua kluster di tempat kerja itu ialah Kluster Rawa Akasia yang melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang serta Kluster Jalan Perindustrian di Kulai, Johor.

“Kes indeks bagi kluster Rawa Akasia, iaitu kes ke-100,149 yang dilaporkan positif pada 24 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 322 individu disaring dan 117 kes dikesan positif Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Jumaat.

Beliau berkata, kes indeks Kluster Jalan Perindustrian dilaporkan positif melalui saringan bersasar di tempat kerja dengan sejumlah 95 individu disaring dan 20 kes dikesan positif.

Kluster ketiga, Kluster Rantau Semarak membabitkan kawasan Maran di Pahang dan daerah Gombak di Selangor yang kes indeks didapati positif melalui saringan individu bergejala dengan 69 individu disaring dan 18 kes positif, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster tamat hari ini iaitu Kluster Bukit Dalam, Kluster Chengal, Kluster Penjara Reman dan Kluster Avenue menjadikan jumlah kluster tamat pula 290. - Bernama