Covid-19: 2,068 kes hari ini, tiga kematian direkodkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jangkitan baharu harian Covid-19 di Malaysia kekal empat angka dengan 2,068 kes direkodkan pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 115,078.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 23,433 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 776 kes dengan 425 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti dengan Kuala Lumpur yang merekodkan 457 kes manakala Sabah pula mencatatkan 254 kes.

“18 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan Imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok Gajah (4) dan Kluster Pagar Siput (1),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Jumaat.

Dr Noor Hisham juga berkata, tiga kematian direkodkan pada Jumaat dengan kes pertama melibatkan seorang lelaki berumur 69 tahun dari Negeri Sembilan yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik dan dislipidemia.

"Kes kematian kedua melibatkan seorang lelaki berumur 94 tahun dari Selangor yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, demensia dan bronchiectasis.

"Kes kematian ketiga pula melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bilangan pesakit yang pulih hari ini ialah 2,230 orang menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya setakat ini sebanyak 91,171.

Katanya, sehingga kini, terdapat 126 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 54 memerlukan alat bantuan pernafasan. - Bernama