Ustaz Budak didakwa lagi

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, (kiri) dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis.
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, (kiri) dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pendakwah dikenali sebagai Ustaz Budak yang juga mudir di sebuah madrasah tahfiz di Machang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Machang dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis atas pertuduhan jenayah seksual terhadap dua bekas pelajar lelaki.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Amal Razim Alias dan Hakim, Shahrul Rizal Majid.

Di Mahkamah Majistret Machang, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap bekas pelajar terbabit yang berusia 22 tahun di sebuah rumah di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang, jam 1 pagi pada Mei 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Majistret Amal Razim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan sebutan kes pada 1 Februari tahun depan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pula, Syamsul Zaman didakwa meraba seorang lagi bekas pelajar lelaki berusia 15 tahun, jam 10 pagi pada 22 Ogos 2018 di rumah sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap remaja sama pada masa, tempat dan tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Shahrul Rizal membenarkan dia diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 28 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed.

Pada 21 Disember lalu tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada jam 1.15 pagi, 16 Disember lalu di sebuah bilik hotel dekat sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Budak dituduh lagi esok

'Ustaz Budak' didakwa cabul lelaki