X

Kindly register in order to view this article
!

Kartel daging: Polis Johor akan terima lebih banyak laporan

AYOB KHAN
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor tidak menolak kemungkinan masih terdapat pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam yang akan tampil membuat laporan polis berhubung isu kartel daging di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini sebanyak 15 laporan polis berhubung kes daging sejuk beku dan pemalsuan dokumen yang dilakukan di sebuah gudang kartel di Senai diterima sejak awal Disember ini.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat sebagai menyuarakan kebimbangan dan ketidakselesaan pihak terlibat terhadap isu ini kerana melibatkan agama.

Beliau berkata, sebagaimana yang dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging ini.

"Pihak polis Bukit Aman akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam).

"Tetapi ada satu laporan polis dibuat di Kulai oleh seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai berhubung isu ini.

"Oleh itu, polis Johor akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan (melukakan hati umat Islam)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Ayob Khan berkata, daripada 15 laporan polis yang diterima, 13 laporan dibuat oleh KPDNHEP, satu dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan satu lagi dibuat oleh seorang Bersatu Bahagian Kulai.

"Polis Johor masih meletakkan anggotanya menjaga gudang sejuk beku di Senai bagi tujuan keselamatan terhadap penguat kuasa yang menjalankan siasatan di lokasi terbabit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Johor terima 15 laporan kes daging sejuk beku


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!