Isu LKIM: Faiz jawab dakwaan Exco Terengganu

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil tampil menjelaskan dakwaan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim bahawa beliau ada meminta Kerajaan Negeri itu memberikan peruntukan kepada LKIM.

Menurut Faiz, beliau telah bertemu secara tidak rasmi dengan Azman ketika menghadiri program Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad Bersama Penternak dan Nelayan Terengganu pada 7 Januari lalu.

Katanya, dalam pertemuan itu beliau ada menyebut kepada Azman agar sama-sama menjaga kebajikan nelayan dan meminta Kerajaan Negeri Terengganu memberikan kerjasama dan bantuan diperlukan LKIM Terengganu bagi tujuan menjaga kebajikan nelayan.

“Ini adalah kerana bagi menjayakan sesuatu projek atau program, integrasi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting kerana kedua-duanya mempunyai bidang kuasa masing-masing yang perlu dihormati dan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Azman yang juga AJK Pas Pusat menyarankan Pas mencadangkan menteri-menteri, Ahli Parlimen dan wakil rakyat PH diberikan kursus asas pengurusan dan pentadbiran kerana masih ramai tidak faham faham bidang tugas dan struktur asas pentadbiran.

Antaranya, dakwa Azman, Pengerusi LKIM yang meminta Kerajaan Negeri beri peruntukan kepada LKIM walaupun lembaga itu adalah agensi kerajaan Pusat.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, menjadi fungsi kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga sebaik mungkin tanpa menjadikan perbezaan ideologi politik sebagai sempadan.

“Kepentingan dan kebajikan nelayan akan terus terbela jika kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat berintegrasi dengan baik. Inilah konsep federalism yang mahu dipraktiskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengharapkan agar Kerajaan Negeri menyegerakan proses birokrasi projek pembinaan perumahan nelayan di beberapa buah kawasan yang telah dikenalpasti di Terengganu termasuk di Setiu, Kemaman dan Besut di mana peruntukan pembinaan rumah ditanggung LKIM.

"Saya juga mengharapkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu dapat menyediakan peruntukan khas untuk nelayan di musim tengkujuh seperti mana Kerajaan Persekutuan memberikan elaun sara hidup secara bulanan kepada 40,000 nelayan di seluruh negara,” katanya.

Bagaimanapun, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Azman didakwa memanipulasi kata-katanya untuk kepentingan politik.

“Ini kerana saya berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara. Saya cuma mengharapkan beliau lebih kreatif dan mempedulikan kebajikan nelayan yang amat memerlukan pembelaan kerajaan,” katanya.