Penganjur lumba haram di LPT2 diberkas

Antara individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2, Terengganu pada Isnin.
Antara individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2, Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan dua kumpulan dikenali Geng Kemaman dan Geng Kerteh menganjurkan lumba haram dengan nilai pertaruhan berjumlah RM3,000 tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Terengganu pada Isnin.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, serbuan dilakukan menerusi Ops Samseng Jalanan oleh sepasukan Unit Risikan dan operasi JSPT Bukit Aman dan Unit EMPV Zon Timur berjaya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis menahan 10 lelaki berusia 24 hingga 33 tahun.

Menurutnya, operasi bermula jam 10 malam itu pada mulanya mengesan seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi Superman di Kilometer 330 LPT 2.

"Penunggang itu kemudian ditahan selepas memberhentikan motosikalnya di belakang sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dinaiki dua lelaki dipercayai berperanan menyelia perlumbaan.

"Pasukan operasi kemudian menahan empat lelaki dalam sebuah kereta Proton Wira disyaki penganjur perlumbaan di hentian rehat Plaza Tol Kerteh.

"Susulan itu, kira-kira jam 3.30 pagi, seorang penunggang motosikal dan dua lelaki menaiki Nissan Navara disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan haram itu turut berjaya diberkas di Plaza Tol Paka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua kenderaan iaitu dua motosikal jenis Yamaha RXZ, sebuah Proton Wira dan dua buah Nissan Navara juga disita.

"Polis percaya geng ini telah aktif beberapa tahun lalu dan pernah ditahan sebelum ini atas kegiatan perlumbaan haram.

"Kesemua yang ditangkap kini direman tiga hari sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987," katanya.