Covid-19 di Kedah makin membimbangkan, namun terkawal

Dr Mohd Hayati
Dr Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Kes jangkitan Covid-19 akibat aktiviti rentas negeri sejak beberapa hari lalu mengakibatkan situasi penularan di negeri ini agak membimbangkan tetapi masih terkawal.

Exco Kesihatan negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata jangkitan berlaku kerana penduduk di luar Kedah terutama dari zon merah yang balik bercuti ke kampung.

“Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ishak Hussain memaklumkan kes menular kerana ada individu di zon merah pulang ke kampung menyebabkan peningkatan kes,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Justeru, beliau berharap penduduk di negeri ini termasuk yang pulang ke kampung sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Rakyat Kedah perlu menjadikan kes penularan Covid-19 di Selangor sebagai pengajaran kerana kerajaan terpaksa melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Januari depan.

“Kalau boleh tangguhkan majlis perjumpaan rakan sekolah atau jamuan makan, jika ada kenduri kahwin ikut SOP. Kita juga tidak mahu berlaku seperti di Kelantan, kes meningkat kerana aktiviti balik kampung ketika musim cuti.

“Semalam saya pergi ke Langkawi, saya sendiri nampak ketika mahu naik dan turun feri orang terlalu ramai dan bersesak-sesak, memang agak susah hendak kawal, sekarang masing-masing kena jaga diri sendiri,” katanya.

Tambahnya, walaupun Kedah tidak mempunyai kluster baharu namun Kluster Kolam yang berpunca dari Orang Kena Tahan (OKT) pada 12 Disember lalu masih aktif.

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, Kedah mencatatkan penambahan 12 kes baharu positif Covid-19 dengan 95 kes yang masih aktif.