X

Kindly register in order to view this article
!

Tangguh tangkap ikan di Sungai Tumboh

Terdapat penduduk menjalankan aktiviti memancing di Sungai Tumboh.
A
A

PASIR SALAK - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menasihatkan penduduk menangguhkan sementara aktiviti tangkapan ikan susulan insiden ribuan ikan mati di Sungai Tumboh, Kampung Gajah di sini.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pelbagai spesies ikan itu mati tetapi sudah merujuk Jabatan Perikanan untuk maklumat lanjut.

"Saya hanya boleh menasihati aktiviti perikanan ditangguhkan buat sementara waktu di kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan terdapat tiga potensi kejadian berkenaan iaitu dua daripadanya ialah aktiviti kilang sawit dan satu lagi mungkin membabitkan bekas lombong berdasarkan input pengadu.

"Pasukan penyiasat menemui bangkai ikan bermula di bekas lombong iaitu kawasan paling hulu. Sampel air dan tanah yang ada kesan lapisan cecair seperti minyak telah diambil untuk analisa kimia selain sampel bangkai ikan untuk mengetahui punca kejadian," katanya.

Pegawai JAS mengambil sampel air dan tanah untuk dianalisis susulan insiden ikan mati di Sungai Tumboh. - Foto ihsan JAS
Pegawai JAS mengambil sampel air dan tanah untuk dianalisis susulan insiden ikan mati di Sungai Tumboh. - Foto ihsan JAS

Rosli berkata, siasatan sama turut dilakukan terhadap kedua-dua kilang sawit yang berada di jajaran sungai itu.

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, kejadian itu didakwa berlaku minggu lalu menyebabkan kaki pancing dan nelayan darat bimbang ikan itu beracun.

Menurutnya, Sungai Tumboh menjadi tumpuan kaki pancing untuk mendapatkan ikan lampam, baung, patin dan rohu.

"Sungai ini lama sudah menjadi 'port' pancing kerana mempunyai pelbagai spesies ikan. Tetapi minggu lalu banyak ikan terapung dihanyutkan ke hilir.

"Kejadian Ini pertama kali berlaku dan kami tidak turun memancing kerana tidak tahu punca ikan itu mati sama ada pencemaran atau diracun," katanya.

Ahmad berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan kerana kejadian itu boleh menjejaskan pendapatan nelayan darat.

ARTIKEL BERKAITAN: JAS siasat punca ikan mati di Sungai Tumboh

Pasukan penyiasat JAS menjalankan siasatan selepas menerima aduan ikan mati di Sungai Tumboh. - Foto ihsan JAS
Pasukan penyiasat JAS menjalankan siasatan selepas menerima aduan ikan mati di Sungai Tumboh. - Foto ihsan JAS


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!