Selesai dahulu masalah permohonan parti politik lain: Penganalisis

Gambar kecil: Kamarul dan Awang Azman
Gambar kecil: Kamarul dan Awang Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Barisan Nasional (BN) seharusnya menyelesaikan masalah permohonan beberapa parti politik untuk menjadi parti komponen terlebih dahulu sebelum membuat pelawaan kepada parti politik lain.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, parti politik seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) telah memohon sejak sekian lama untuk menjadi parti komponen BN tetapi gagal.

“Masalah yang ada dalam perkara ini adalah kerana mengikut Fasal 6.1 Perlembagaan BN iaitu untuk menjadi parti anggota BN, sesebuah parti politik mestilah dipersetujui dengan sebulat suara oleh kesemua parti anggota supaya diterima menjadi anggota BN.

“Oleh itu, bila ada salah satu parti anggota BN yang tidak bersetuju sesebuah parti politik yang lain diterima untuk menjadi parti anggota BN, maka parti politik itu tidak akan diterima tidak kiralah walaupun alasan penolakan itu bersifat peribadi seperti dibuat oleh MIC,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa BN perlu membina kekuatan baharu termasuk menerima kemasukan parti lain dalam gabungan itu.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata, tidak ada salahnya BN menerima parti-parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, menerima parti-parti politik sebagai ahli bergabung atau ‘Friends of BN’ tidak akan banyak membantu kerana ia tidak akan menampakkan BN sebagai sebuah parti yang inklusif.

“Apa lagi bila ahli bergabung atau ‘Friends of BN’ tidak mempunyai banyak hak dalam BN,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengakui dengan hanya empat anggota parti yang ada kini iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tidak membolehkan BN untuk pergi lebih jauh.

Menurutnya, perkara pertama yang perlu dibuat oleh BN ialah mengubah Fasal 6.1 Perlembagaan BN bagi menjadikan permohonan untuk menjadi parti anggota mestilah dipersetujui oleh majoriti sahaja dan bukannya kesemua parti anggota sedia ada.

“Pada masa sama, tidak ada banyak faedahnya untuk BN menerima parti politik kecil lain untuk menyertainya sebagai parti anggota BN kerana parti politik kecil ini bukannya mempunyai pengaruh besar yang boleh menarik rakyat mengundi BN dalam PRU.

“Sebaliknya, yang perlu dibuat oleh BN ialah memastikan ia boleh menjalinkan kerjasama padu dengan parti politik besar yang sudah sedia bekerjasama atau sedia bergabung dengan parti politik lain kerana merekalah penentu sebenar kemenangan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut sependapat dengan Kamarul Zaman bahawa kemasukan parti politik kecil dan tidak mempunyai rekod boleh menang perlu dielakkan agar tidak menjadi liabiliti kerana ia boleh mengganggu kerusi serta prestasi BN.

“Cabaran besar BN ialah mendapat rakan parti baharu yang mempunyai kerusi yang agak kukuh. Jika sekadar mendapat rakan baharu yang belum menang mana-mana kerusi, ia akan menjadi liabiliti dan tidak menambah kekuatan BN itu sendiri.

“BN boleh misalnya menarik Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama BN bagi memastikan persaingan politik dapat dielakkan dan sama-sama membentuk blok politik yang lebih kuat,” katanya.