Pecah masuk masjid curi komputer riba

Peti besi yang berada di dalam bilik imam Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang yang dialihkan penjenayah ke ruang solat dalam keadaan terkopak pada Khamis lalu. Gambar kecil: Mohd Mohadis
Peti besi yang berada di dalam bilik imam Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang yang dialihkan penjenayah ke ruang solat dalam keadaan terkopak pada Khamis lalu. Gambar kecil: Mohd Mohadis
A
A
A

TANJONG KARANG - Sekurang-kurangnya tiga masjid dan sebuah surau sekitar Tanjong Karang dipecah masuk pencuri dalam tempoh sebulan lalu.

Kejadian terbaharu ialah Masjid Ar-Raudhah di sini yang dipecah masuk sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.

Nazir masjid, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin berkata, kali terakhir kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu berlaku pada jam 3.35 pagi Khamis lalu.

"Kejadian disedari siak masjid yang bertugas apabila melihat kesan umpil pada pintu gelongsor di ruang solat kira-kira jam 5 pagi iaitu sebelum solat Subuh.

"Siak kemudian mendapati peti besi di dalam bilik imam dialihkan penjenayah ke ruang solat dalam keadaan terkopak," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mohd Mohadis berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu selepas siak terbabit menghantar gambar dalam aplikasi kumpulan WhatsApp masjid berkenaan.

Susulan kejadian itu, katanya, pihak masjid segera melihat CCTV dan mendapati terdapat dua lelaki dipercayai melakukan kegiatan memecah masuk masjid terbabit.

"Berdasarkan rakaman CCTV juga mendapati penjenayah turut melarikan dua komputer riba hasil sumbangan jemaah masjid untuk kegunaan semasa khutbah Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita dapati gelang tangan dan cincin dipercayai milik jemaah wanita yang tidak dituntut disimpan di dalam bilik imam turut dilarikan," katanya.

Beliau berkata, kejadian kali pertama berlaku apabila terdapat individu memecah sebuah tabung masjid yang diletakkan di beranda ruang solat.

"Pihak masjid telah membuat laporan di Balai Polis Tanjong Karang pada Khamis lalu," katanya.

Sementara itu, Mohd Mohadis yang juga bekas Mufti Melaka berkata, sekiranya perbuatan jenayah itu dilakukan individu beragama Islam, ia dianggap sebagai perbuatan hina kerana mencemarkan institusi masjid.

"Perbuatan mencuri barang adalah dosa besar apatah lagi ia melibatkan barang milik jemaah (masjid) yang ramai.

"Saya meminta ibu bapa mengawasi dan memastikan anak-anak mereka tidak keluar pada waktu malam dan terlibat dengan perbuatan ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Masjid At Taufiqiah Kampung Parit 4 dan Masjid Kampung Sungai Terap serta Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru turut dipecah masuk pencuri.

-end-