Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas

AZLINA OTHMAN

Anggota bomba sedang melakukan pencarian.
Anggota bomba sedang melakukan pencarian.
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Anak sulung saya secara tiba-tiba datang kepada saya dan memberitahu adiknya (mangsa) seperti ditarik orang di celah-celah batu ketika mereka sedang bermain air,” cerita Sajali Nin, 48.

Sajali merupakan bapa kepada Nurul Ain, 8 yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang semalam.

Sebelum kejadian, Nurul Ain pada awalnya bermain pasir bersama anak sulungnya, Fazli Sajali, 14 dan sepupu, Puteri Amelia Zulaika Abdullah, 9 sebelum bersama-sama bermandi-manda di kawasan batu berhampiran tepi pantai itu.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya, Nur In Sazali, 41 sedang mandi di kawasan berhampiran dan dia pula menjaga anak bongsu, Mohd Khairul yang berusia enam tahun di pondok berhampiran pantai tersebut.

“Anak sulung saya sempat menyelamatkan diri, manakala anak saudara saya hampir lemas namun sempat diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Saya kelam kabut mencari anak saya dan rasa macam tidak percaya yang anak saya hilang. Orang ramai juga turut sama mencari anak saya sebelum turut membantu menghubungi pihak bomba,” katanya yang memberitahu Nurul Ain belajar di Sekolah Kebangsaan Masai, Pasir Gudang.

Lokasi dipercayai mangsa dilaporkan lemas.
Lokasi dipercayai mangsa dilaporkan lemas.

Kontraktor yang berasal dari Sabah itu memberitahu, dia tetap mencari anaknya meskipun pasukan penyelamat telah tiba dan tetap berharap satu-satu anak perempuannya itu dapat ditemui walau dalam keadaan apa sekalipun.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sajali bersama isteri dan tiga anaknya yang tinggal di Sungai Masai, Pasir Gudang, di sini, datang beriadah ke lokasi tersebut bersama keluarga rapat mereka sempena musim cuti persekolahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, kerja-kerja operasi menyelamat masih lagi diteruskan melibatkan satu jentera dan satu hilux bersama tujuh anggota.

“Turut membantu dalam operasi ini termasuklah pasukan Maritim, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia dan Anggota Pertahanan Awam Malaysia dan operasi masih dijalankan.

“Operasi pencarian yang dimulakan dari petang semalam dan diteruskan pagi ini dengan lokasinya diperluaskan melibatkan jarak 2km dari mangsa dilaporkan hilang. Sehingga kini, mangsa belum dapat ditemui,” katanya.