Harap tidak timbul masalah

Azman ketika melatih Ultimate FC dalam saingan Liga M3 musim ini.
Azman ketika melatih Ultimate FC dalam saingan Liga M3 musim ini.
A
A
A

KESEMUA kelab yang beraksi dalam Liga M3 musim depan diharap tidak menimbulkan sebarang masalah sama ada menarik diri atau membubarkan pasukan ketika saingan liga sedang berlangsung.

Bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan berkata, keputusan sedemikian bakal menyebabkan pelbagai pihak berdepan kesukaran terutamanya pemain serta pegawai pasukan.

Malah, Azman yang pernah mengendalikan skuad Liga M3 - Tun Razak FC dan Ultimate FC menegaskan, keputusan sedemikian akan turut memberikan kesan terhadap pihak penganjur.

“Bagi saya, semua saingan liga, tak kisah sama ada Liga M3 atau lain-lain liga, sekali dah masuk pastikan kelab berkenaan dapat terus beraksi sampai habis. Jangan sekerat jalan.

“Jika sekerat jalan, ia pasti akan menimbulkan pelbagai masalah; bukan sahaja penganjur yang pening, pemain pun pening, staf pun pening, pihak pengurusan pun pening.

“Ini disebabkan semua perkara terutamanya melibatkan kontrak juga akan berlaku untuk sekerat jalan sahaja dan sudah pasti ia akan menimbulkan masalah pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Azman, sebarang keputusan daripada kelab berkenaan untuk menarik diri mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.

“Antara faktor utama sudah pastinya melibatkan faktor kewangan kerana kebanyakan kelab dalam saingan Liga M3 adalah kelab persendirian dan tidak memiliki dana yang banyak.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu diharapkan agar mana-mana kelab yang mahu menyertai Liga M3 perlu memiliki sumber kewangan yang mencukupi bagi memastikan mereka dapat terus bersaing tanpa perlu membuat keputusan menarik diri pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu Azman berharap agar Liga M3 dapat dijadikan sebagai saingan liga yang khusus kepada pemain-pemain muda khususnya yang mahu mencipta nama dalam arena bola sepak tanah air.

Katanya, saingan Liga M3 dilihat sebagai platform yang bersesuaian kepada pemain-pemain muda berkenaan.

“Sebenarnya Liga M3 ni bagus untuk pemain muda. Kita ada ramai pemain berbakat tetapi kelab bola sepak pula yang semakin berkurangan.

“Sebelum ini kita ada Felda United, PKNS FC, Sime Darby dan lain-lain, tetapi semuanya tutup; jadi saingan Liga M3 inilah tempat yang sesuai untuk pemain-pemain muda ini meneruskan cita-cita mereka untuk menjadi seorang pemain bola sepak,” katanya.