Tiada isu kartel daging ketika jadi PM: Najib

Hantaran Najib di Facebook beliau mengenai kartel daging haram pada Ahad.
Hantaran Najib di Facebook beliau mengenai kartel daging haram pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa isu kartel daging diragui halal yang dilaporkan telah berlaku sejak 40 tahun lalu tidak pernah timbul sepanjang tempoh beliau bergelar Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018.

Najib berkata, walaupun media melaporkan ia telah berlaku sejak 40 tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menerima apa-apa aduan rasmi berhubung perkara itu.

Menurutnya, beliau juga telah memeriksa perkara tersebut dengan menteri-menteri berkaitan pada masa itu dan mereka mengesahkan tiada aduan pernah diterima selain media juga tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang tempoh berkenaan.

"Oleh sebab isunya amat berat, sudah tentu kerajaan BN dahulu akan mengambil tindakan jika kita menerima aduan rasmi atau maklumat. Namun tidak pernah ada aduan rasmi diterima dan media juga tidak pernah timbulkan isu ini masa itu.

"Setelah dikaji, rupa-rupanya isu ini pertama kali dilaporkan pada Oktober 2019 tahun lepas," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, dakwaan awal dibuat Media Asia Sentinel selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik pengiktirafan sebuah badan pensijilan halal di Australia.

Beliau berkata, pada waktu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalannya, Fuziah Salleh menolak dakwaan itu.

Malahan, katanya, pada masa tersebut juga, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lantikan politik PH, Latheefa Koya turut berjanji untuk menyiasat perkara itu dan akan mendedahkan keputusan siasatan kemudiannya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Kartel tukar daging haram jadi halal

Kartel daging haram: MCW serah memorandum

Daging import haram dijual secara online

Ekoran itu, beliau menggesa agar Mujahid, Fuziah dan Latheefa menjawab tentang status siasatan berhubung skandal kartel daging berkenaan sepanjang tempoh empat bulan mereka menyiasat.

"Latheefa tidak pernah beri apa-apa 'update' berhubung isu ini sehingga dia letak jawatan empat bulan kemudian apabila kerajaan PH tumbang.

"Bagaimanapun, Menteri jaga agama PH kata semalam (Sabtu) pula bahawa SPRM tidak pernah campur tangan atau siasat isu ini semasa dia jadi menteri," katanya.