X

Kindly register in order to view this article
!

Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas

Sebahagian ahli keluarga mangsa yang menunggu di lokasi pencarian.
A
A

MARANG - Dua lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di daerah ini termasuk bakal pengantin hanya dalam tempoh selang dua minit laporan kejadian pertama diterima, petang Jumaat.

Kejadian itu berlaku di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut, di sini antara jam 6.38 petang dan 6.40 petang.

Dalam kejadian di Pantai Kelulut, di sini, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, pada Sabtu.

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong di sini jam 10 pagi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak kira-kira jam 6.40 petang.

Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang, 61, berkata, dia yang sedang memasang khemah untuk majlis berkenaan dimaklumkan anaknya mengenai kejadian menimpa tunangnya.

Ismail Awang
Ismail Awang

"Kami kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas solat Maghrib dan berjumpa dengan ahli keluarga bakal besan.

"Kita reda dengan apa yang berlaku dan berharap mangsa segera ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kelulut di sini, Jumaat.

Menurut Ismail lagi, pasangan itu bertunang bulan lalu selepas berkawan selama beberapa tahun.

"Mereka sampai di sini pada Khamis lagi dan segala persiapan sudah dibuat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini difokuskan di kawasan pesisir pantai dengan pencarian merangkumi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Katanya, hasil maklumat awal di lokasi, mangsa mandi di pantai berseorangan kira-kira jam 6.40 petang sebelum beberapa minit kemudian, adik perempuannya, Suti Nur Atiqah Kamaruddin yang semasa itu berada terlihat mangsa terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong.

"Tetapi, semasa kejadian, keadaan ombak kuat dan adiknya tidak dapat membantu. Mangsa terus dibawa arus ombak dan hilang dari pandangan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan Jumaat.

Sebelum itu, kata beliau, kira-kira jam 6.38 petang, pihaknya ada menerima panggilan melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Kampung Bukit Tok Bat Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu yang dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Jambu Bongkok di sini.

"Mangsa, Wan Nashaifudin Wan Latif dikatakan mandi bersama enam rakannya di lokasi kira-kira jam 6.15 petang. Semasa kejadian salah seorang rakan mangsa, melihatnya sudah semakin jauh ke tengah laut.

"Rakan mangsa cuba mendekati mangsa untuk tujuan menyelamat tetapi tidak berjaya. Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan Pos Kawalan Dan Tempat Kejadian (PKTK) akan dibuka di lokasi kejadian," katanya.

Jelas beliau, keadaan laut bergelora dan ombak kuat menyebabkan selain keadaan cuaca yang gelap menyebabkan operasi dibuat pesisir pantai.

"Operasi akan disambung hari ini kira-kira jam 7 pagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki dikhuatiri lemas di Marang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!