Pejalan kaki cedera tersepit antara dua kereta

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit antara kereta dan dinding bangunan di lorong belakang deretan kedai di Ipoh pada Jumaat. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit antara kereta dan dinding bangunan di lorong belakang deretan kedai di Ipoh pada Jumaat. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

IPOH - Seorang pejalan kaki cedera apabila tersepit antara dinding bangunan dan dua kereta dalam kemalangan di lorong belakang deretan kedai, Jalan Dato Lau Phak Kuan, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9 pagi melibatkan kereta jenis Perodua Viva dan Mercedes CLA 200 yang diparkir di lokasi kejadian serta mangsa, wanita berusia 20 tahun.

"Siasatan awal mendapati Perodua Viva terbabit melalui lorong tersebut dan secara tiba-tiba mangsa datang melintas di hadapannya.

"Pemandu kereta berkenaan cuba mengelak namun gagal menyebabkan dia melanggar mangsa dan kereta Mercedes yang diparkir di lorong berkenaan," katanya.

Kemalangan yang berlaku di lorong berhampiran Jalan Dato Lau Phak Kuan pada Jumaat menyebabkan seorang wanita cedera dan tersepit. - Foto Ihsan Bomba.
Kemalangan yang berlaku di lorong berhampiran Jalan Dato Lau Phak Kuan pada Jumaat menyebabkan seorang wanita cedera dan tersepit. - Foto Ihsan Bomba.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mangsa tersepit antara kedua-dua kenderaan terbabit dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa masih menerima rawatan di wad kecemasan, manakala pemandu Perodua Viva sedang dikesan berikutan tiada di lokasi kejadian dipercayai dibawa ke hospital untuk rawatan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tepi kereta jenis Mercedes.

"Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 10.09 pagi.