X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tumpas geng samun di Port Dickson

A
A

PORT DICKSON - Polis berjaya menumpaskan geng samun selepas lima suspek berjaya diberkas pada Khamis di dua lokasi di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 37 tahun diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di belakang sebuah premis di Telok Kemang serta sebuah apartmen di sini, masing-masing pada 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta suspek membawa kepada penemuan sebilah pisau, dua bilah pisau boleh laras, sebuah mesin pengisar, sebuah topi keledar, sebuah telefon bimbit, seunit mesin gerudi, sepasang baju hujan dan sebuah topi keledar basikal.

"Pemeriksaan ke atas pangsapuri membawa kepada penemuan tiga unit telefon bimbit, dua pasang sarung tangan hitam, pemacu pena, serangkai kunci dan sebutir peluru hidup 55.6MM serta peralatan menghisap dadah dan tiga paket plastik lut sinar disyaki dadah seberat 2.02 gram," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, semakan mendapati empat suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik manakala seorang daripada mereka merupakan individu yang dikehendaki polis.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati empat suspek positif dadah metamfetamin dan kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok bagi permohonan reman," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muhamad Mustafah berkata, kejayaan polis adalah hasil maklumat awam yang memaklumkan mengenai kejadian samun ke atas seorang jururawat berusia 29 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 8.10 pagi Khamis. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!