Lima suspek ditahan, 15 kes pemerasan, simbah asid selesai

Kok Chin (kiri) memeriksa perbarisan ketika Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di IPK Pulau Pinang pada Rabu.
Kok Chin (kiri) memeriksa perbarisan ketika Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di IPK Pulau Pinang pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menyelesaikan 15 kes pemerasan, simbah asid serta cat membabitkan 13 premis menjual kenderaan terpakai dan baharu, di sini selepas penahanan lima suspek warga tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga hari selepas kejadian pertama dilaporkan.

Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 26 dan 63 tahun itu ditahan di empat lokasi berasingan di bandar ini Bayan Baru, di sini pada Selasa hingga awal pagi Rabu.

"Kita turut merampas empat telefon bimbit daripada semua suspek. Dengan penahanan itu, kita telah menyelesaikan 15 kes pemerasan, simbah cat dan asid membabitkan premis menjual kenderaan terpakai dan baru yang mana, 12 kes di daerah Timur Laut dan tiga di Barat Daya.

"Seorang daripada suspek berusia 36 tahun mengaku menyimbah cat dan asid di premis berkenaan manakala yang lain ditahan kerana bersubahat," pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Rabu.

Kok Chin berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun itu melakukan pemerasan kerana memerlukan wang untuk membayar hutangnya.

"Walaupun sudah menahan lima suspek, kita masih mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai berada di belakang kesemua suspek yang ditahan. Kesemua suspek yang ditahan bagaimanapun negatif dadah.

"Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah. Kelima-lima mereka telah direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa premis menjual kenderaan terpakai yang disimbah asid bukan sahaja mengalami kerugian akibat kejadian itu malah mereka turut diperas ugut oleh suspek agar membayar sehingga RM10,000 jika tidak mahu kejadian sama berulang.

Polis menerima laporan polis berhubung kejadian itu sejak 2 Mei hingga dua hari lalu membabitkan kerosakan 43 buah kereta dan 18 buah motosikal bernilai RM60,000.