Covid-19: 447 kes dikesan di Penjara Kluang

Seramai 424 banduan dan 23 kakitangan Penjara Kluang dikesan terlibat dengan Kluster Tembok Gajah. - Foto Jabatan Penjara Malaysia
Seramai 424 banduan dan 23 kakitangan Penjara Kluang dikesan terlibat dengan Kluster Tembok Gajah. - Foto Jabatan Penjara Malaysia
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kumulatif kes Kluster Tembok Gajah di Penjara Kluang berjumlah 447 kes setakat ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, seramai 424 banduan dan 23 kakitangan penjara dikesan terlibat dengan kluster baharu itu yang dilaporkan pada 18 Disember lalu.

"Tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dalam mengekang penularan secepat mungkin masih dilakukan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Kluang bermula 19 Disember lalu.

"Mulai 19 Disember satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) diwujudkan dalam Kompleks Penjara Kluang bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pada Rabu sahaja terdapat 118 kes baharu dilaporkan di negeri ini iaitu 80 kes daripada kluster sedia ada, 24 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 14 kes daripada lain-lain saringan.

R Vidyananthan
R Vidyananthan

Menurutnya, ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan berjumlah 3,706 kes dengan 2,009 kes telah pulih iaitu 54.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sementara 1,665 kes yang aktif diberi rawatan di hospital.

"Kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 32 kes. Sehingga 23 Disember 2020, kumulatif kluster aktif di Johor adalah 23 antaranya Kluster Tampoi Jaya (mukim Tebrau), Kluster Batu 39 (mukim Api-api), Kluster Jalan Timah (mukim Plentong) dan Kluster Tembok Gajah (mukim Kluang).

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk Kluster Utama Rini (mukim Pulai), Kluster Cahaya Mahsuri (mukim Tebrau), Kluster Desa Idaman (mukim Senai), Kluster Langkasuka (mukim Tebrau), Kluster Tenun Merah (mukim Simpang Kanan), Kluster Jalan Dalam (mukim Pulai), Kluster Bandar Impian (mukim Kluang), Kluster Jalan Tampoi (mukim Tebrau), Kluster Cempaka (mukim Sedenak) dan Kluster Baloi (mukim Pengkalan Raja)," katanya.

Menurutnya, pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih giat dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah yang terlibat.

Penyumbang utama kejadian kluster-kluster baharu yang dilaporkan kebelakangan ini katanya, masih disebabkan sikap segelintir masyarakat yang tidak peka keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penyakit Covid-19.

"Masyarakat diharapkan dapat memberi sepenuh kerjasama kepada jabatan-jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas mereka tanpa halangan agar tidak menyukarkan mereka di dalam melakukan tugas dengan berkesan," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar yang menjalani PKPD berkuat kuasa dari 24 hingga 6 Januari 2021 supaya mematuhinya.