Berlaga bahu punca ditetak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki cedera parah selepas ditetak anak saudaranya bersama beberapa lelaki lain di sebuah kedai menjual telefon di Jalan Veterinari di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian yang berlaku di sebuah kedai berdekatan sebuah flat itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan anak saudaranya.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 9.10 malam itu, mangsa ditetak menggunakan parang menyebabkannya cedera di perut, lengan dan kaki kiri.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan terlanggar bahu anak saudaranya di sebuah restoran di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini dua hari lalu.

"Susulan daripada itu, kedua-duanya telah berselisih faham dan suspek yang tidak berpuas hati telah ke kedai tersebut bersama lima rakannya lalu menyerang mangsa," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Kita berjaya menahan tiga lelaki termasuk anak saudara mangsa yang kesemuanya berusia lingkungan 20-an. Polis masih giat memburu tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

"Dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Kesemua suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, Soffian mengesahkan kematian seorang bekas doktor pelatih selepas mangsa berhenti kerja di Hospital Pulau Pinang sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Jambul, semalam.

Soffian berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian doktor tersebut.