Telefon bimbit wartawan Al-Jazeera diintip

Gambar fail menunjukkan ibu pejabat stesen penyiaran Al-Jazeera di Doha, Qatar. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan ibu pejabat stesen penyiaran Al-Jazeera di Doha, Qatar. - Foto AFP
A
A
A

NICOSIA - Berpuluh-puluh telefon bimbit milik para wartawan stesen penyiaran berita milik kerajaan Qatar iaitu Al-Jazeera dipintas melalui alat pengawasan elektronik yang canggih, kata sebuah badan pemantau Universiti Toronto, Kanada.

Sebanyak 36 telefon wartawan itu telah dipintas, dedah satu laporan oleh pusat penyelidikan Citizen Lab di Universiti Toronto pada Ahad lalu selepas mengawasi alat komunikasi itu untuk mengesan aktiviti yang meragukan.

Penemuan itu juga diperoleh selepas pusat tersebut melakukan satu siasatan yang berlanjutan selama beberapa bulan.

"Kesannya amat jelas dan berbahaya," kata seorang wartawan penyiasat Al-Jazeera Arab, Tamer al-Misshal yang turut menjadi mangsa aktiviti tersebut kepada AFP semalam.

Menurutnya, penggodaman itu tidak akan diketahui jika tanpa penglibatan Citizen Lab yang melakukan siasatan tersebut.

Stesen penyiaran itu berkata, ia mendapatkan perkhidmatan pusat penyelidikan tersebut pada Januari lalu selepas menerima mesej yang disyaki meragukan pada telefon itu.

Telefon itu digunakan untuk menghubungi orang ramai bagi mendapatkan komen.

Pakar-pakar pusat itu kemudian bersetuju untuk memantau trafik alat komunikasi tersebut dan menemui data yang mengandungi bahan sensitif dan dihantar secara rahsia ke sebuah server.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu menyatakan penggodam menggunakan perisian intip Pegasus yang dibangunkan oleh kumpulan NSO milik Israel.

Bagaimanapun, kumpulan NSO berkata, dakwaan Citizen Lab itu merupakan satu spekulasi dan kekurangan bukti. - AFP