Penguat kuasa syariah dijel 14 bulan cabul, aib rakan sekerja

Tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab dijel 14 bulan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerja di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa.
Tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab dijel 14 bulan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerja di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penguat kuasa syariah dijatuhi hukuman 14 bulan penjara selepas mengaku salah bagi dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya tahun lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Keputusan dibuat Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 30, menukar pengakuan daripada tidak bersalah sebelum ini kepada bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh, sebelum ini pada 15 Disember 2019 di mahkamah sama, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Namun, selepas tiga saksi pendakwaan dipanggil, tertuduh mengambil keputusan menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 40 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini, jam 4.20 petang pada 25 November 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan mangsa yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan di lokasi sama, jam 10 pagi pada 25 November 2019.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh sabitan pada Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.

Terdahulu, Ka Full memohon hukuman yang lebih kepada pencegahan kerana ia adalah gangguan seksual di tempat kerja yang selalu berlaku yang juga dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Katanya, kejadian itu turut memberikan trauma yang cukup mendalam kepada mangsa yang boleh dilihat menangis sepanjang memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang pada 6 Disember 2019 di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin di sini.