Hargai petugas kesihatan

Di Malaysia, kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan kebanyakannya akibat jangkitan daripada rakan setugas lain, dengan jururawat merupakan petugas kesihatan yang tertinggi dijangkiti.
Di Malaysia, kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan kebanyakannya akibat jangkitan daripada rakan setugas lain, dengan jururawat merupakan petugas kesihatan yang tertinggi dijangkiti.
A
A
A

SEMAKIN ramai petugas kesihatan di seluruh dunia dijangkiti Covid-19 termasuk lebih daripada 40,000 di Turki dan lebih 1,300 orang di Mexico.

Hal ini menunjukkan virus Covid-19 tidak mengenal sempadan, apatah lagi terhadap petugas kesihatan di barisan hadapan.

Di Malaysia, kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan kebanyakannya akibat jangkitan daripada rakan setugas lain, dengan jururawat merupakan petugas kesihatan yang tertinggi dijangkiti.

Menyedari risiko ini, petugas kesihatan merupakan antara kelompok pertama dalam kalangan petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaksin pada awal tahun 2021 nanti.

Sehingga 18 Disember 2020, sejumlah 1,771 kes positif jangkitan Covid-19 direkodkan dalam kalangan petugas kesihatan.

Kategori tersebut merangkumi jururawat (690 kes), pegawai perubatan (211 kes), pembantu perawatan kesihatan (146 kes), pembantu pegawai perubatan (144 kes) dan pegawai perubatan siswazah (84 kes).

Trend jangkitan ini membimbangkan kerana kumpulan ini berperanan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan khususnya di Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh pada 17 Disember, seramai 50 petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang telah dijangkiti Covid-19.

Situasi seumpama ini pernah diaIami oleh negeri Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti berlaku di sana.

Bagaimanapun, kes-kes di kesemua hospital yang terlibat masih dalam keadaan terkawal.

Usaha mengawal pandemik Covid-19 tidak akan berhasil tanpa kegigihan, semangat kental dan daya juang pasukan petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan.

Namun, petugas kesihatan tidak terkecuali daripada terdedah dengan jangkitan Covid-19 terutama ketika bertugas mengendalikan pesakit yang positif.

Seorang doktor perubatan menjadi mangsa pertama jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan selepas disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020.

Rentetan itu, KKM sentiasa menegaskan keperluan kepada semua petugas kesihatan sama ada di sektor kerajaan mahu pun swasta agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

Kawal

Kepatuhan ini adalah sangat penting diamalkan khususnya bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di zon merah, di mana kebarangkalian mereka untuk mendapat jangkitan daripada komuniti adalah tinggi.

Penggunaan PPE adalah pendekatan yang paling biasa dipraktikkan di tempat kerja, namun dalam situasi sekarang pemakaian PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan apabila mereka berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala Covid-19.

Selain itu, penjarakan fizikal yang selamat ketika bertugas iaitu kalangan rakan sekerja dan semasa memberi rawatan kepada pesakit wajar diamalkan sepanjang waktu bertugas.

Begitu juga dengan tahap kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan.

Yang paling utama, petugas kesihatan perlu memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya terbabit secara langsung atau mempunyai hubungan dengan kontak.

Petugas kesihatan dan perubatan merupakan benteng terakhir yang perlu memastikan Covid-19 tidak tersebar dan menular kepada kelompok lain.

Lantaran itu, amat wajar keselamatan dan kebajikan mereka serta ahli keluarga diberi keutamaan.

Misalnya, setiap ketua unit perlu bertanggungjawab terhadap jadual petugas kesihatan bagi memastikan mereka mendapat rehat secukupnya, tidak terbeban dan tidak tertekan dalam menjalankan tugas.

Natijahnya, tugas untuk melawan Covid-19 bukan hanya dipikul oleh petugas kesihatan sahaja, maka sebagai menghargai kerja keras dan tanpa henti petugas kesihatan menangani penularan Covid-19, sama-samalah kita menjalankan peranan masing-masing dalam memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Semoga kerjasama daripada masyarakat dan barisan hadapan membawa kejayaan dalam memerangi Covid-19.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia